Wednesday, July 22, 2009

Sirah Perjuangan Nabi

Marilah mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan Ahzab yang berlaku di dalam bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulhijjah pada tahun kelima hijrah. Peperangan Ahzab ini sangat menguji keimanan umat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w. Peperangan ini berlaku apabila beberapa pemimpin Yahudi datang ke Makkah menemui pemimpin-pemimpin Musyrikin Quraisy, mengajak mereka bergabung dengan kabilah-kabilah Arab yang untuk membentuk pasukan tentera bagi menyerang Madinah dan menghancurkan Islam sehingga ke akar umbi.

Walaupun peristiwa ini sangat menggerunkan umat Islam pada masa itu, namun dengan keimanan dan keyakinan yang teguh kepada Allah Ta’ala dan kepada janjinya, membolehkan mereka berhadapan dengan bilangan tentera Ahzab yang berlipat kali ganda berbanding dengan umat Islam, akhirnya mereka diberi kemenangan oleh Allah Ta’ala.

Betapa kukuhnya keimanan umat Islam pada masa itu digambarkan oleh Allah Ta’ala di dalam al-Qur’anul Karim dengan firman-Nya :

“Dan pada masa orang-orang Yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah Yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada Kami dan benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". dan (angkatan tentera musuh Yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang-orang Yang beriman itu, ada Yang bersikap benar menunaikan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada Yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada Yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa Yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

(Surah al-Ahzab : Ayat 22-23)

Daripada peristiwa Ahzab ini hendaklah kita menyedari bahawa musuh-musuh Islam daripada penganut berbagai-bagai agama dan mereka bermusuh-musuh sesama mereka, mereka tetap akan bersatu apabila berhadapan dengan Islam. Mereka akan terus melakukan penentangan terhadap Islam dan akan berakhir hanya apabila umat Islam keluar daripada Islam.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian)...”

(Surah al-Baqarah : Ayat 17)

Permusuhan ini akan tetap berlaku bukan terhenti pada zaman Rasulullah s.a.w. Ia akan berpanjangan sehingga hari qiamat. Di dalam melangsungkan permusuhan terhadap umat Islam, mereka tidak akan mengira di mana tinggal orang Islam dan daripada bangsa mana orang Islam, walaupun satu bangsa dengan mereka.

Di dalam suasana permusuhan yang berpanjangan ini, umat Islam hendaklah meneruskan usaha menyampaikan risalah Islam dan menjadi umat contoh yang diciptakan oleh Allah Ta’ala untuk umat manusia dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari kiamat.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

(Surah al-‘Imran : Ayat 110)

Dan firman Allah Ta’ala lagi :

“Dan demikianlah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi faktor kemenangan yang diberikan oleh Allah Ta’ala…”

(Surah al-Baqarah : Ayat 143)

Rasulullah s.a.w tidak hilang pertimbangan apabila mengetahui kedatangan tentera Ahzab. Rasulullah s.a.w bermesyuarat dengan para sahabat bagaimana hendak berhadapan dengan tentera Ahzab.

Seorang sahabat bernama Salman al-Farisi berasal dari Parsi mencadangkan supaya digali parit sepanjang kawasan yang dilalui oleh musuh. Cadangan ini diterima dan Rasulullah s.a.w bersama-sama para sahabat, para sahabat Muhajirin dan Ansar bertungkus lumus menggali parit sehingga parit berjaya disiapkan dalam masa yang singkat. Bila tiba tentera Ahzab, mereka terkejut apabila melihat parit yang terbentang luas di hadapan mereka menghalang kemaraan mereka. Orang-orang Islam bertahan beberapa bulan tetap di dalam keimanan dan keyakinan kepada Allah Ta’ala dan janji-Nya.

Tentera Ahzab tidak boleh bertahan lama apabila mereka berpecah sesama sendiri. Maka datanglah pertolongan daripada Allah Ta’ala dengan ditiup angin kencang malam yang gelap gelita yang menakutkan, lalu menerbangkan dan memusnahkan kelengkapan perang mereka.

Allah Ta’ala Maha Kuat tidak boleh dikalahkan oleh musuh walau bagaimana kuat mereka. Inilah keyakinan yang wajib ditanam di dalam setiap hati umat Islam hari ini.

Marilah kita asingkan orang-orang yang berpura-pura beriman di hadapan umat Islam sedangkan mereka menyembunyikan di dalam hati mereka perasaan tidak yakin kepada Allah dan Rasul-Nya serta Islam. Marilah kita mengikut teladan orang-orang yang terdahulu yang beriman kepada Allah dan yakin bahawa Islam inilah yang menyatukan mereka, Islam inilah yang menyelamatkan mereka di dunia dan akhirat.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi Segala kesukaran Dalam mengerjakan perkara-perkara Yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah al-‘Imran : Ayat 200)


wallahu 'Alam


Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by ArchiThings.Com - House Design Plans